Malaysia mencatatkan pelaburan luar biasa sebanyak RM254.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, peningkatan 10.7% berbanding RM230.2 bilion bagi tempoh sama pada 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataan di laman X, mengesahkan pelaburan ini melibatkan 4,753 projek dan dijangka menjana 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Perkara ini dimaklumkan ketika Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024. Nilai ini membuktikan usaha kerajaan terus menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkongsi keputusan penting MPN, termasuk pelaksanaan Garis Panduan Pembangunan Pusat Data Mampan dengan metrik cekap Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Air (WUE). Garis panduan ini akan menjadi asas insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC).
“Kerajaan Madani terus menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar baharu untuk memastikan daya saing negara kekal utuh,” tambah Anwar.
Pencapaian ini menggambarkan komitmen kerajaan dalam memacu ekonomi ke arah masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing. – JURNAL