Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bersikap realistik tetapi optimis menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China yang bermula hari ini.
Diundi dalam Kumpulan B, mereka bakal berdepan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai, pasangan Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja, serta gandingan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.
Tang Jie menegaskan bahawa status mereka sebagai pilihan ketiga tidak memberikan kelebihan besar, memandangkan saingan melibatkan lapan beregu terbaik dunia.
“Kami akan fokus kepada strategi latihan dan memberikan yang terbaik. Tiada istilah mudah kerana semua lawan mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, pula menyifatkan undian kali ini agak seimbang kerana tiada pasukan bertemu beregu China, sekaligus membuka peluang buat anak buahnya mara lebih jauh.
“Undian ini membuatkan persaingan lebih terbuka. Saya harap kedua-dua beregu negara mampu melangkah ke separuh akhir,” ujar Nova.
Kejohanan ini menjadi medan terakhir dalam kalendar 2024, dengan hanya dua pasangan teratas dari setiap kumpulan melangkah ke separuh akhir. Kini, tumpuan terarah kepada kemampuan beregu negara untuk mengakhiri tahun dengan prestasi gemilang. – JURNAL
Sumber: Kosmo!