Juara bertahan, Thailand mengesahkan tiket ke final Piala AFF 2022 apabila menundukkan Malaysia 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Kemenangan 3-0 di laman sendiri itu membolehkan skuad bimbingan Alexandre Polking mara menerusi agregat 3-1 sekali gus menempah pertemuan dengan Vietnam bagi perebutan gelaran ‘Raja ASEAN’.
Segala-galanya seakan serba tidak menjadi buat Malaysia apabila gagal mengulangi corak pertahanan kemas seperti ditunjukkan menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Pada aksi terbabit, Thailand mendominasi sebahagian besar permainan di babak pertama dengan lebih banyak menyerang sementara Malaysia sekadar menunggu untuk mendapatkan ruang bagi melakukan serangan balas pantas.
Pertahanan kental Malaysia yang berjaya menafikan asakan Thailand selama 19 minit akhirnya kecundang apabila hantaran lintang Teerathon Bunmathan ditanduk Teerasil Dangda yang juga gol keenamnya pada temasya ini untuk mengikat agregat 1-1.
Peluang pertama Malaysia hadir pada minit ke-36 namun bagaikan ‘gigitan nyamuk ke atas gajah’, tandukan Darren Lok hasil hantaran lintang Norhakim Hassan tepat ke dakapan Kampon Phatomakkakul.
Bersambung babak kedua, Malaysia perlahan-lahan mula mengancam Thailand selepas dua pemain baharu iaitu Lee Tuck dan Ruventhiran dimasukkan untuk cuba mengubah nasib skuad negara.
Gerakan daripada sebelah sayap Thailand sekali lagi gagal dipatahkan skuad negara dan akibatnya, Malaysia dibolosi dengan gol kedua menerusi Bordin Phala pada minit ke-55.
Impian Malaysia untuk mara ke final kian malap apabila Thailand menambah gol ketiga pada minit ke-71 menerusi pemain gantian, Adisak Kraisorn untuk agregat 3-1 buat tuan rumah.
Sumber: BHOnline