Kerajaan mempertimbang menyediakan pampasan kepada mangsa banjir yang kehilangan kediaman secara keseluruhan, bagi membolehkan mereka membina semula rumah pasca bencana. Langkah ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau, bantuan dalam jumlah yang wajar akan diberikan, merangkumi negeri-negeri terjejas.
“Saya setuju dengan Tumpat. Kalau rumah musnah sepenuhnya, kerajaan harus beri pertimbangan untuk ganti rugi yang munasabah supaya mereka dapat bina semula,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa peruntukan segera yang diluluskan setakat ini adalah sebanyak RM1 bilion, sementara maklumat terperinci kerosakan sedang dikumpul.
“Sekarang nampak reda sedikit di Kelantan dan Terengganu, tetapi sudah membara di Pahang. Dijangka Johor juga akan terkesan. Kita akan lihat keseluruhan keadaan,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai keperluan mangsa, Anwar menegaskan bahawa jaminan telah diberikan untuk menyalurkan bantuan segera, khususnya berkaitan makan minum, keperluan asas, dan pembaikan infrastruktur kritikal seperti jalan rosak.
“Saya bagi jaminan yang segera. Soal makan minum mereka, keperluan asas, dan membaiki jalan perlu diberi keutamaan.
“Soal menaikkan taraf jalan negeri ke Persekutuan, saya tunggu laporan Kementerian Kerja Raya dan Petra untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Langkah kerajaan ini diharap dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka kembali bangkit pasca bencana. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian