Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menamatkan siasatan selama dua tahun mengenai wabak COVID-19 yang mengorbankan 1.1 juta rakyat negara itu dengan menyokong teori bahawa virus itu mungkin bocor dari sebuah makmal di China.
Laporan sepanjang 520 halaman dari Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan yang dikawal oleh Parti Republikan mengenai pandemik coronavirus mengkaji tindak balas di peringkat persekutuan dan negeri, serta asal-usul pandemik dan usaha vaksinasi.
“Kerja ini akan membantu AS dan dunia untuk meramalkan, mempersiapkan diri dan melindungi diri kita dari pandemik seterusnya, dan semoga menghalang pandemik seterusnya,” kata pengerusi panel, Brad Wenstrup dalam sepucuk surat kepada Kongres.
Agensi persekutuan AS, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan saintis di seluruh dunia membuat kesimpulan berbeza mengenai kemungkinan besar asal usul COVID-19 dan tiada sebarang persetujuan bersama dicapai.
Kebanyakan pihak percaya virus itu merebak melalui haiwan di China, tetapi analisis perisikan AS berkata tahun lalu bahawa virus itu mungkin direka secara genetik dan terlepas dari makmal virologi di bandar Wuhan, China, tempat kes manusia pertama kali muncul.
Panel kongres itu dipengaruhi oleh teori kebocoran makmal selepas mengadakan 25 pertemuan selain menjalankan lebih 30 temubual bertulis dan meninjau lebih daripada 1 juta halaman dokumen.
Siasatan itu termasuk dua hari temu bual secara tertutup dengan Anthony Fauci, saintis kerajaan yang menjadi pakar paling dipercayai negara itu pada awal wabak 2020.
Pertembungan Fauci dengan bekas dan Presiden yang akan datang, Donald Trump mengenai tindak balas terhadap wabak itu mencetuskan kemarahan di pihak kanan, dan beliau kini hidup dengan perlindungan keselamatan selepas ancaman bunuh terhadap keluarganya.
Republikan menuduh ahli imunologi berusia 83 tahun itu membantu mencetuskan pandemik terburuk dalam satu abad dengan meluluskan pembiayaan yang disalurkan kepada saintis China yang mereka dakwa menghasilkan virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19.
Antara kesimpulan utama laporan itu menyatakan Institut Kesihatan Negara (NIH) sudahpun membiayai penyelidikan ‘gain-of-function’ yang kontroversial – bertujuan untuk meningkatkan virus sebagai langkah untuk mencari cara menanganinya – di Institut Virologi Wuhan.
Fauci dengan marah menafikan perkara itu di hadapan panel pada Jun dan berhujah bahawa ia adalah ‘mustahil secara molekular’ bagi virus kelawar yang dikaji di makmal itu untuk diubah menjadi virus yang menyebabkan pandemik.
Namun, laporan panel itu berkata SARS-CoV-2 kemungkinan timbul akibat kemalangan berkaitan makmal atau penyelidikan.
Siasatan mendapati bahawa sekatan pergerakan lebih banyak mudarat daripada kebaikan dan mandat pemakaian pelitup muka tidak berkesan dalam mengawal penyebaran COVID-19, bercanggah dengan penyelidikan lain yang menunjukkan bahawa pemakaian pelitup muka di tempat awam mengurangkan kadar penularan.
Garis panduan penjarakan sosial juga dikritik, walaupun sekatan perjalanan dianggap menyelamatkan nyawa.
Penyiasat mendapati bahawa Operasi Warp Speed Trump – projek yang dibiayai oleh awam untuk membangunkan vaksin COVID – adalah kejayaan besar tetapi penutupan sekolah akan memberi kesan berpanjangan kepada kanak-kanak AS. – JURNAL
Sumber: AFP