Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM50 juta bagi membantu negeri-negeri yang terkesan akibat banjir, terutamanya Kelantan dan Terengganu. Peruntukan ini akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung yang rosak, termasuk menaik taraf jalan di Hulu Besut.
Beliau turut mengarahkan tindakan susulan dilakukan pada pertengahan bulan ini bagi memastikan kelancaran usaha pemulihan.
Anwar turut memuji kesiapsiagaan lebih 82,000 petugas kerajaan, termasuk individu dan NGO, yang berganding bahu membantu tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya lihat lori makanan dari Pulau Pinang, diuruskan seorang individu dari Bukit Mertajam, bukan NGO. Dia hanya uruskan 10 lori ke Kelantan untuk diserahkan kepada ATM. Walaupun dia Cina, dia fikir masalah ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau juga menggesa sektor swasta untuk turut serta dalam membantu mangsa banjir, bukan hanya dengan menyumbang dana tetapi menyediakan jentera dan tenaga kerja.
“Setiap syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, dan Pulau Pinang perlu turun ke lapangan untuk melihat sendiri kesusahan rakyat. Mereka akan lebih memahami kehidupan rakyat yang serba mencabar ini,” tegasnya.
Sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada November lalu, sembilan negeri telah terjejas dengan lebih 135,344 mangsa daripada 40,910 keluarga berlindung di 631 pusat penempatan sementara (PPS) setakat pagi tadi.
Kerajaan berharap dengan peruntukan tambahan ini, proses pemulihan dapat dipercepatkan dan kehidupan rakyat kembali seperti sediakala. – JURNAL