Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal melancarkan eSP, iaitu sistem pas khas secara dalam talian, bermula Januari tahun depan. Inisiatif ini merupakan langkah transformasi ke arah pendigitalan bagi memudahkan urusan warga asing dan mengurangkan kesesakan di kaunter.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, eSP adalah dokumen khas yang memberi hak kepada warga asing untuk masuk dan tinggal di Malaysia tidak lebih 30 hari berdasarkan Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pada 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan, dan setakat Oktober 2024, jumlahnya mencapai 119,019,” katanya semasa sidang akhbar di Perhimpunan Bulanan KDN pada Isnin.
eSP direka untuk menangani kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM, di mana separuh daripada warga asing hadir untuk menyelaras keberadaan mereka di Malaysia.
“Pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan di kaunter serta memperkenalkan budaya kerja baharu,” tambah beliau.
Melalui eSP, pemohon boleh menguruskan dokumen seperti Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang sah secara dalam talian.
“Kemudahan ini juga terbuka kepada mereka yang menunggu keputusan permohonan baharu, mengalami kecemasan seperti sakit, kemalangan atau bencana alam, atau situasi luar kawalan,” jelas Saifuddin.
Meskipun berasaskan digital, aspek keselamatan dan ketelusan tetap menjadi keutamaan. Pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan dan memuat naik dokumen sokongan untuk semakan pegawai.
“Jika permohonan tidak memenuhi syarat, pemohon akan diarahkan hadir ke pejabat JIM terdekat untuk pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut memaklumkan usaha memperkemaskan Skim Perkhidmatan Imigresen (KP). Antara langkah termasuk meningkatkan gred Ketua Pengarah JIM ke Jusa B serta memperluaskan jawatan strategik seperti pengarah negeri dan bahagian.
“Cadangan mewujudkan Skim Bersepadu Imigresen bertujuan menggabungkan jawatan Penguasa dan Penolong Penguasa Imigresen. Langkah ini juga selaras saranan SPRM bagi menangani masalah integriti,” ujarnya.
Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan motivasi kakitangan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan, seterusnya memberi manfaat kepada semua pihak. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian