Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Seoul, Korea Selatan pada Ahad bagi lawatan rasmi selama tiga hari. Lawatan ini bertujuan mengukuhkan hubungan bilateral menjelang ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan pada tahun 2025.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Udara Seoul pada 9.55 malam (8.55 malam waktu Malaysia). Ketibaan beliau disambut oleh Jurucakap dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Awam Korea Selatan, Lee Jaewoong; Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae; dan Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid.
Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Difahamkan, lawatan ini dilakukan atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Anwar dan Yoon juga dijadual menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Penangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama Di Bawah Artikel 6 Perenggan 2 Perjanjian Paris.
Dalam lawatan ini, Anwar akan bertemu pemimpin perniagaan utama menerusi Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan serta bertemu konglomerat besar Korea untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia.
Pada Selasa, Perdana Menteri dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk “Rakan Strategik dalam Dunia Kompleks: Malaysia, Korea, dan Masa Depan Asia” di Seoul National University. Sesi ini akan menekankan peranan strategik kedua-dua negara dalam membentuk hala tuju Asia pada masa depan.
Lawatan ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia dan Korea Selatan dalam memperkukuhkan kerjasama strategik di pelbagai bidang, termasuk ekonomi, pendidikan, dan isu alam sekitar. – JURNAL