Selepas lebih seminggu menjalankan lawatan rasmi ke luar negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat pada Khamis, menarik perhatian ramai dengan penjelasan beliau mengenai kos perjalanan tersebut.
Menurut Anwar, 70 hingga 80 peratus kos lawatan ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang terlibat dalam urusan perniagaan dan pelaburan di Malaysia. Beliau menjelaskan, pendekatan ini bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan negara sambil memastikan lawatan rasmi dijalankan secara berhemah.
“Pendekatan ini dilaksanakan di bawah pentadbiran saya untuk memastikan perbelanjaan diuruskan secekap mungkin,” katanya.
Namun, langkah itu menimbulkan persoalan daripada pelbagai pihak. Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan menerima tajaan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan.
“Adakah benar pihak swasta ini begitu bermurah hati, atau ia dianggap sebagai pelaburan strategik dengan pulangan dijanjikan?” soal Ahmad Fadhli.
Lawatan selama 11 hari ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil dari 9 hingga 19 November itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik serta menjana potensi pelaburan besar untuk Malaysia.
Bagaimanapun, ada pihak yang mempertikaikan sama ada inisiatif ini memenuhi prinsip tatakelola yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan. Kebimbangan timbul jika syarikat penaja berpotensi menerima imbuhan tertentu.
Rakyat mengakui usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan negara patut dipuji, tetapi mereka juga berharap tidak wujud layanan istimewa kepada pihak tertentu hanya kerana menyediakan tajaan. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian