Usaha tegas Malaysia dalam memerangi rasuah mula menarik perhatian dunia, dengan kerajaan Qatar kini meminta kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merangka program anti-rasuah di negara Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap langkah proaktif Malaysia.
“Anti rasuah sekarang sudah meningkatkan imej kita, bukan saja dari segi indeks persepsi rasuah, tetapi juga melalui pengiktirafan negara luar,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, satu delegasi utama yang melibatkan SPRM dan menteri akan ke Qatar minggu depan untuk memulakan kerjasama ini.
“Itu ditugaskan kepada SPRM atas pengiktirafan mereka,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa perkhidmatan awam sedang melalui perubahan drastik untuk meningkatkan tahap kecekapan.
“Kita mulakan dengan skim persaraan perkhidmatan awam untuk mengiktiraf peranan mereka dan menuntut perubahan,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh, seperti proses kelulusan JPJ, pendaftaran syarikat, dan universiti swasta yang kini dipantau bagi memastikan keberkesanan reformasi.
“Tidak ada makna kalau reformasi tetapi tahap kecekapan tetap sama,” katanya.
Pengiktirafan antarabangsa dan komitmen untuk transformasi perkhidmatan awam ini menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah yang lebih baik dalam memerangi rasuah dan meningkatkan kecekapan pentadbiran. – JURNAL
Sumber: Berita Harian