HUAWEI Malaysia kini melancarkan dua peranti terkini untuk pasaran tempatan iaitu tablet HUAWEI MatePad 12 X dan jam pintar HUAWEI Watch D2, dengan pra-tempahan dibuka sehingga 29 November 2024.
Tablet HUAWEI MatePad 12 X ditawarkan pada harga RM2,999, manakala HUAWEI Watch D2 pula berharga RM1,999. Kedua-duanya dilengkapi teknologi canggih untuk meningkatkan produktiviti dan kesihatan pengguna.
HUAWEI MatePad 12 X: Prestasi Setaraf PC Dalam Gaya Elegan
Direka untuk golongan muda yang mementingkan produktiviti, tablet ini tampil dengan ciri seperti WPS Office eksklusif setaraf PC yang memudahkan tugasan seperti pemprosesan dokumen, pembentangan, dan spreadsheet. Ia juga serasi dengan Microsoft Office365, memberikan pengalaman kerja yang lancar antara peranti.
Tablet ini dilengkapi bateri besar 10,100 mAh yang mampu bertahan sehingga 14 jam untuk penstriman video atau 12 jam melayari web dengan satu cas penuh. Lebih menarik, teknologi pengecasan pantas HUAWEI SuperCharge 66 W membolehkan cas penuh dalam hanya 85 minit.
Pelanggan awal boleh menikmati hadiah eksklusif bernilai sehingga RM2,624 termasuk HUAWEI FreeBuds 5, HUAWEI M-Pencil Generasi Ke-3, papan kekunci pintar, dan aksesori lain.
HUAWEI Watch D2: Era Baharu Pemantauan Kesihatan
Jam pintar HUAWEI Watch D2 menjadi peranti pertama Huawei dengan pemantauan tekanan darah ambulatori (ABPM) di pergelangan tangan, menawarkan pengukuran tekanan darah 24 jam dengan ketepatan tinggi. Diperakui CE (MDR) Eropah, ia menggunakan teknologi HUAWEI TruSense untuk hasil pantas dan tepat.
Antara ciri lain termasuk pemantauan sembilan indikator kesihatan seperti kadar degupan jantung, oksigen dalam darah, tekanan, suhu badan, dan keanjalan vaskular. Pengguna juga boleh menjana laporan Health Glance untuk mengenal pasti risiko kesihatan.
Jam tangan ini menyokong lebih 80 mod senaman, membantu pengguna menguruskan aktiviti harian, tidur, dan tekanan dengan lebih baik. Pra-tempahan dilengkapi hadiah percuma bernilai sehingga RM1,276 termasuk HUAWEI FreeBuds Pro 2 dan tali tambahan. – JURNAL