Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman gantung tiga perlawanan ke atas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada, berikutan insiden tegang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, kedua-dua pemain itu melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang berkaitan kelakuan yang menyinggung dan melanggar prinsip ‘fair play.’
“Arif Aiman menumbuk muka sebelah kiri Tommy Mawat, manakala Tommy pula bertindak menanduk kepala dan mencekik Arif Aiman,” jelas Baljit.
Arif Aiman dikenakan penggantungan dalam tiga perlawanan iaitu dua aksi Pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November, serta perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember.
Sementara itu, Tommy Mawat juga menerima hukuman serupa. Beliau tidak dibenarkan beraksi dalam dua perlawanan Pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November, serta perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember.
Menurut Baljit, kedua-dua pemain turut diberi amaran keras dan diingatkan bahawa hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama.
Kejadian tegang itu berlaku pada minit ke-83 apabila Tommy cuba menghalang larian Arif Aiman. Keadaan menjadi lebih serius apabila Tommy dilihat mencekik pemain JDT itu, yang kemudiannya membalas dengan tumbukan ke arah kepala Tommy. Insiden tersebut menyebabkan rakan sepasukan dan pengadil, Razlan Joffri Ali, terpaksa campur tangan bagi meleraikan keadaan.
Kedua-dua pemain diberikan hak untuk merayu hukuman ini, namun keputusan FAM mencerminkan ketegasan mereka dalam memastikan semangat kesukanan dan ‘fair play’ terus dijunjung dalam liga tempatan. Insiden ini diharap menjadi pengajaran buat semua pemain untuk menjaga kelakuan di atas padang. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian