Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menegaskan bahawa bola sepak Malaysia bukanlah sebuah kegagalan. Sebaliknya, kegagalan terletak pada individu dalam industri yang tidak mampu mengurus pasukan ke tahap standard yang diharapkan.
TMJ, yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), berkata persepsi kegagalan bola sepak Malaysia sukar difahami, terutama dengan kejayaan yang telah dicapai.
“Bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada pasukan seperti JDT yang berjaya di Asia? JDT sudah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings. Kita juga layak ke Piala Asia untuk pertama kali dalam tempoh 40 tahun. Ini semua adalah pencapaian besar,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers.
Tambahnya, JDT juga menyumbang 68.7 peratus (21.54 mata) daripada keseluruhan 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015, membolehkan lebih banyak kelab tempatan bersaing di peringkat Asia.
Selain itu, TMJ menyorot kejayaan JDT sebagai satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC pada 2015, selain memiliki fasiliti bertaraf dunia.
“JDT juga diiktiraf dengan penganugerahan ‘AFC Two-Star Academy’ dan memiliki kemudahan perubatan serta pembangunan akar umbi terbaik. Jadi, apa alasan untuk mengatakan bola sepak Malaysia gagal?”
Menurutnya, isu seperti tunggakan gaji, kekurangan infrastruktur, dan kelemahan pembangunan akar umbi berpunca daripada individu yang tidak berkelayakan dalam industri bola sepak.
“Bola sepak tidak gagal. Yang gagal adalah individu dalam pasukan yang tidak mampu mengurus dengan baik dan meningkatkan standard,” tegasnya.
TMJ turut menggesa semua pihak dalam industri untuk tidak menyalahkan sistem atau kejayaan JDT, tetapi sebaliknya mendesak perubahan bermula dari dalam pasukan masing-masing.
“Liga dengan pasukan yang diurus dengan baik, fasiliti moden, dan program akar umbi yang kukuh akan meningkatkan lagi standard keseluruhan,” katanya.
Kenyataan ini mencerminkan pendirian TMJ terhadap masa depan bola sepak Malaysia yang memerlukan perubahan radikal di peringkat pengurusan. – JURNAL