Mulai 7 November lalu, rakyat Malaysia kini dibenarkan menggunakan sistem pintu automatik (e-Gate) di Taiwan, menjadikan Malaysia negara ketujuh yang mempunyai akses ini selepas Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, Itali, Jerman, dan Singapura.
Menurut Kedutaan Taiwan, langkah ini adalah hasil kerjasama kedua-dua negara, di mana Malaysia juga telah membuka sistem Autogate untuk warga Taiwan sejak 1 Jun 2024.
“Mulai sekarang, pelancong Malaysia yang memenuhi syarat boleh menggunakan e-Gate Taiwan untuk keluar-masuk negara ini. Kami mengalu-alukan semua rakan untuk berkongsi berita baik ini kepada orang ramai,” kata kenyataan itu.
Antara syarat untuk menggunakan e-Gate termasuk memiliki pasport cip elektronik yang sah sekurang-kurangnya enam bulan, berumur 12 tahun ke atas, ketinggian minimum 140 cm, dan tiada rekod pelanggaran undang-undang di Taiwan. Pendaftaran kali pertama boleh dibuat di kaunter ketibaan, dengan pendaftaran semula diperlukan jika pasport ditukar di masa hadapan.
Proses pendaftaran hanya mengambil masa satu minit, manakala pemeriksaan melalui e-Gate cuma memakan masa 10 saat, berbanding pemeriksaan manual yang memerlukan 10 hingga 25 minit termasuk masa menunggu.
“Sistem ini secara signifikan mempercepatkan proses, satu manfaat besar bagi rakyat Malaysia yang melancong ke Taiwan,” tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, warganegara Taiwan yang berkunjung ke Malaysia hanya perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan untuk menggunakan Autogate Malaysia tanpa pendaftaran tambahan, selagi pasport cip elektronik mereka sah sekurang-kurangnya enam bulan dan mereka berketinggian minimum 120 cm. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian