Penghuni 15 kediaman di Taman Bukit Permai 2, Ampang, yang terjejas akibat tragedi tanah runtuh pada Mac tahun lalu diminta mengosongkan rumah kerana ia sudah tidak selamat untuk didiami.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan pertanian negeri Ir Izham Hashim, berkata berdasarkan laporan diterima, kediaman berkenaan terlalu dekat dengan tebing selain terdapat rekahan baharu di kawasan tersebut meskipun kerja-kerja menstabilkan cerun telah dijalankan.
“Saya dimaklumkan bahawa 15 rumah berkenaan yang berada di kawasan atas tebing tidak selamat dan kita akan mengeluarkan notis pengosongan dalam masa terdekat.
“Kita akan bawa isu ini ke mesyuarat kerajaan negeri pada Rabu ini bagi membincangkan tindakan susulan serta bantuan bagi mengurangkan beban penghuni yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada Mac tahun lalu, hari ini.
Ujarnya, kerja-kerja menstabilkan cerun yang dijalankan sejak Mei tahun lalu membabitkan kos RM15 juta itu telah siap 80 peratus.
“Kerja-kerja menstabilkan itu turut membabitkan pembinaan parit ‘horizontal’ (mendatar) dan parit ‘vertical’ (menegak).
“Kini-kerja-kerja menstabilkan sedang giat dijalankan di bahagian kiri dan kanan cerun berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sejak Mac tahun lalu sebanyak enam runtuhan direkodkan dan kali terakhir pada Disember lalu melibatkan runtuhan kecil.
“Fenomena hujan secara berterusan sebelum kejadian menyebabkan air bertakung dalam kuantiti besar yang menjadi punca tanah runtuh di lokasi terbabit.
“Ini adalah kawasan tambakan yang dibina pada tahun 80-an dengan sistem saliran tidak dibina dengan baik sehingga menyebabkan air bertakung,” ujarnya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE