Seorang pelajar senior dari Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia (UPNM) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi tadi, jam 9.50 pagi, diiringi pihak polis untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes mencederakan seorang pegawai kadet universiti itu bulan lalu. Difahamkan, pelajar tersebut bakal didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kes ini menjadi perhatian selepas media melaporkan kejadian di mana mangsa, seorang pegawai kadet berusia 20 tahun, mengalami kecederaan di dada setelah ditekap dengan seterika ketika diminta menggosok baju kerja milik seniornya di bilik asrama universiti pada 22 Oktober lalu.
Susulan insiden tersebut, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan yang dialami. Pihak polis juga telah merampas seterika yang dipercayai digunakan sebagai barang kes.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, setakat ini seramai 16 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Antara mereka termasuklah pengadu, suspek, pegawai kadet, kakitangan universiti, jurulatih, dan pegawai perubatan,” jelasnya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah melancarkan siasatan berkaitan insiden ini di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM Sungai Besi bagi memastikan keadilan ditegakkan bagi pihak mangsa. – JURNAL
Sumber: Kosmo!