Kerajaan Malaysia meraih kemenangan penting dalam kes tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ apabila Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya bantahan pihak yang mengaku sebagai waris kesultanan itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyifatkan keputusan itu sebagai bersejarah dan kemenangan besar buat Malaysia. Keputusan ini menafikan sebarang asas untuk ‘Final Award’ yang menetapkan Malaysia membayar US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak penuntut, sekali gus tidak mengiktiraf tuntutan itu mengikut undang-undang Perancis.
“Mahkamah Rayuan Paris kini akan meneruskan proses untuk membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ yang kononnya dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa. Langkah ini bakal menyelesaikan isu ini secara muktamad demi kepentingan rakyat Malaysia,” jelas Azalina melalui satu hantaran di media sosialnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan dan keyakinannya dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang Malaysia. Ucapan penghargaan juga diberikan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Pejabat Peguam Negara dan Kedutaan Malaysia di Perancis atas usaha berterusan mempertahankan kedudukan Malaysia.
Keputusan Mahkamah Agung Perancis ini adalah perkembangan terbaharu selepas Mahkamah Agung Belanda pada September lalu turut menolak rayuan yang difailkan pihak penuntut Sulu terhadap Malaysia, menamatkan percubaan untuk menguatkuasakan tuntutan mereka di Belanda.
Cubaan mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ oleh Dr Gonzalo Stampa yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022 kini menemui jalan buntu di peringkat antarabangsa. – JURNAL