Pegawai bertugas mengingatkan orang ramai agar bersabar sementara undian dikira dalam persaingan sengit untuk jawatan presiden. Mereka memberi amaran bahawa proses pengiraan mungkin memerlukan beberapa hari sebelum keputusan muktamad diumumkan.
Di bawah sistem pilihan raya AS, undian rakyat tidak memilih presiden secara langsung. Sebaliknya, mereka memilih ahli Electoral College atau Lembaga Pemilihan iaitu sebanyak 538 wakil yang kemudiannya akan menentukan presiden dan naib presiden.
Setiap negeri akan menyumbang undi Electoral College kepada calon yang memenangi undi popular di negeri tersebut. Bagi negeri-negeri besar dengan lebih ramai wakil dalam Kongres, mereka akan mendapatkan bahagian undi Electoral College yang lebih besar daripada 538 undi yang tersedia.
Tahun ini, Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris dan pencabarnya daripada Parti Republikan, Donald Trump, perlu mencapai sekurang-kurangnya 270 undi Electoral College untuk memenangi pilihanraya dan mendapatkan kunci masuk ke Pejabat Oval di Rumah Putih.
Namun, terdapat kebimbangan bahawa keputusan mungkin ditangguhkan disebabkan komplikasi seperti cabaran undang-undang berkaitan pengiraan undi. Dengan rekod 81 juta pengundi sudah mengundi awal sebelum Selasa iaitu lebih separuh daripada jumlah undi keluar pada tahun 2020, tempoh pengiraan dijangka lebih lama.
Pusat pengundian pertama telah ditutup pada jam 6 petang Selasa (waktu tempatan), tetapi keputusan rasmi mungkin hanya akan diumumkan beberapa hari kemudian setelah pengiraan selesai.
Media di AS dijangka akan mengeluarkan keputusan tidak rasmi berdasarkan pemerhatian di pusat mengundi. Namun, keputusan ini adalah tidak rasmi dan mesti diperakui oleh pihak berkuasa di peringkat negeri, di mana setiap undi akan diperincikan dan dikira.
Bagi mempercepat proses, banyak negeri telah menukar undang-undang pilihan raya untuk membenarkan undi luar negara dan undi pos diproses lebih awal, tetapi Pennsylvania dan Wisconsin tidak membuat perubahan yang sama. Kedua-dua negeri ini juga merupakan negeri pertempuran utama yang boleh berpihak kepada mana-mana calon, dan undi pos hanya boleh diproses mulai 5 November.
Ini dijangka memperlahankan proses pengiraan di sana. Sekiranya undi terlalu rapat, kiraan semula juga mungkin diperlukan, menambah masa kepada pengumuman rasmi. – JURNAL
Sumber: AFP