Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal melaksanakan mod pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara, Selatan, dan Pantai Timur mulai 1 Januari 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, menjelaskan bahawa fasa peralihan sedang berlangsung bagi memberi kesedaran kepada semua golongan, khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Dalam tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini, kaunter-kaunter tiket masih menerima transaksi tunai,” katanya.
Pelbagai usaha turut dijalankan untuk menyokong kempen ini, antaranya melalui notis, video di media sosial rasmi KTMB, serta edaran bahan promosi di stesen.
KTMB juga berkerjasama dengan bank tempatan, menyediakan reruai pendaftaran akaun bagi pengguna yang belum memiliki kad debit. Selain itu, kakitangan stesen akan membantu pelanggan mendaftar aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan menggunakan kad Komuter Link.
“Sebanyak 500 mata ‘railpoints’ percuma untuk 1,000 pendaftaran terawal KITS turut diberi sebagai galakan,” tambahnya.
Kini, mesin kios bagi pembelian tiket komuter dan kereta api elektrik (ETS) telah tersedia di stesen utama di Lembah Klang dan Utara. Di Pantai Timur, mesin kios ini digunakan untuk pembelian tiket Ekspres Rakyat Timuran dan Shuttle Timuran, manakala di sektor Selatan, mesin kios akan mula beroperasi setelah projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru disiapkan.
Menurut Mohd Rani Hisham, KTMB memperkenalkan sistem pembayaran terbuka di stesen Lembah Klang dan Utara yang membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui kad debit, kredit, dan NFC. Statistik juga menunjukkan bahawa 82% penumpang ETS dan Shuttle Tebrau menggunakan pembayaran atas talian melalui KITS, manakala 71% penumpang KTM Komuter menggunakan pembayaran tanpa tunai.
Melalui kemudahan KITS, KTMB kini memiliki lebih tiga juta akaun berdaftar bagi pembelian tiket ETS, KTM Intercity, Shuttle Tebrau, dan KTM Komuter. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian