Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menempelak ahli Parlimen pembangkang yang didakwa lebih melindungi golongan maha kaya berbanding golongan bawahan, terutama dalam isu cukai dividen dan penarikan subsidi yang dirancang untuk mereka yang memiliki kekayaan besar.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap sikap pembangkang yang tidak memberi cadangan alternatif bagi menegakkan prinsip pengagihan kekayaan yang adil.
“Saya runsing kita ini tak banyak bicara pertahankan golongan bawahan. Nak pertahan ini apa dia? Orang yang miliki saham RM2 juta,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa cukai dividen yang dicadangkan adalah langkah untuk mewujudkan keadilan ekonomi dalam kalangan rakyat. Anwar turut menekankan bahawa semua syarikat dan individu kaya wajar bertanggungjawab, khususnya mereka yang menerima pendapatan dividen berjuta-juta ringgit.
“Apakah boleh kita putuskan bagi negara, secara progresif, menafikan keperluan mengenakan cukai ke atas dividen ke atas milik saham berjuta ringgit?” kata beliau, menyeru agar pembangkang memberi cadangan lebih konstruktif.
“Tapi jangan bagi cadangan tak boleh (kenakan) cukai orang kaya… ini sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita nak tegakkan pengagihan kekayaan secara adil,” tambahnya lagi.
Pertanyaan asal dikemukakan oleh Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Putih), yang mempertikai mekanisme cukai dividen baharu ini dan menyuarakan kebimbangan terhadap kesan cukai tersebut ke atas golongan berpendapatan tinggi serta risiko para pelabur berpindah ke luar negara. Cadangan dalam Belanjawan 2025 mencadangkan cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000, yang akan berkuat kuasa bermula tahun taksiran 2025.
Dalam sesi tersebut, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut membangkitkan isu sama, meminta Perdana Menteri menerangkan mekanisme cukai dividen ini dengan lebih terperinci.
Menjawab soalan tersebut, Anwar mendedahkan bahawa kerajaan pada awalnya mencadangkan kadar lima peratus, namun mengurangkannya kepada dua peratus selepas mengambil kira rayuan daripada Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS). Ini dilakukan bagi mengurangkan beban ke atas mereka yang tidak setaraf dengan syarikat-syarikat besar yang tersenarai.
“Memang ada rayuan daripada PKMS untuk kecualikan mereka atas alasan berbeza dengan syarikat yang tersenarai. Sebab itu kita buat keputusan mulanya lima peratus, kemudian turunkan dua peratus,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cukai yang dikenakan bagi mereka yang berpendapatan RM2 juta hanyalah sekitar RM700 hingga RM800, angka yang dianggap tidak membebankan. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian