Situasi keselamatan di Laut China Selatan kekal selamat, terkawal, dan terbuka kepada komuniti maritim, menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat kehadiran aset maritim China di kawasan tersebut, ianya lebih kepada pasukan pengawal pantai dan bukannya kapal perang.
“Walaupun kehadiran kapal China mencetuskan polemik, namun sehingga kini mereka tidak melakukan tindakan agresif seperti yang berlaku di Vietnam,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Adly berkata, Kementerian Pertahanan tetap berpegang teguh dalam menjalankan amanah mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiapsiagaan aset pertahanan berada pada tahap optimum untuk menghadapi sebarang ancaman.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanyakan mengenai sejauh mana keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan terjamin susulan kehadiran kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Wilayah Maritim Sarawak. – JURNAL
Sumber: Berita Harian