Kenaikan harga barang dan perkhidmatan dijangka berlaku tahun hadapan, susulan beberapa inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, termasuk peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, menjangkakan para peniaga akan mengambil kesempatan ini untuk menaikkan harga barang, terutama selepas peningkatan gaji penjawat awam dan pengenalan penyasaran subsidi petrol RON95.
“Lazimnya peniaga mencari peluang untuk menaikkan harga, terutama apabila pengguna mempunyai kuasa beli lebih tinggi. Mulai 1 Disember, gaji penjawat awam meningkat, dan gaji minimum pula naik pada 1 Februari 2025. Mereka akan menaikkan harga dengan alasan terpaksa membayar gaji lebih, kos overhead, serta peningkatan kos barang import yang kini dikenakan SST,” katanya.
Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan skop SST berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Dr Barjoyai turut menjangka kenaikan harga berlaku dalam peratusan yang tinggi kerana peniaga akan mengambil kira kesan berangkai daripada peningkatan kos dan cukai.
“Kenaikan kos berlaku di setiap peringkat, dari pengeluar hingga ke peruncit, dan peniaga makanan pula biasanya menaikkan harga jauh lebih tinggi daripada peningkatan kos,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa walaupun kadar inflasi negara ketika ini di bawah dua peratus, kenaikan harga barang akan terus berlaku, terutamanya dalam sektor makanan.
Untuk mengawal keadaan, beliau menyarankan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperhebatkan pemantauan terhadap peniaga agar tidak menaikkan harga melebihi sepatutnya. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian