Harimau Malaya disarankan untuk mencari cara mengoptimumkan potensi Arif Aiman Hanapi, seperti yang dilakukannya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), menurut jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin.
Arif Aiman, yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, dilihat kurang menyerlah bersama skuad kebangsaan berbanding prestasi cemerlangnya dengan Harimau Selatan.
Sulaiman berpendapat bahawa kekurangan sokongan daripada rakan sepasukan mungkin menjadi faktor Arif tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik di pentas antarabangsa.
“Bola sepak bukan dimainkan oleh seorang pemain. Arif Aiman bukan Messi atau Ronaldo, jadi kita tak boleh mengharapkan dia lakukan semua perkara,” jelasnya.
Menurutnya, tahap Liga Super, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), dan perlawanan antarabangsa sangat berbeza, dan pemain perlu menyesuaikan diri dengan cabaran yang lebih tinggi di peringkat negara.
Perlawanan persahabatan menentang New Zealand baru-baru ini menyaksikan Arif Aiman gagal memberikan impak yang diharapkan ketika Harimau Malaya tewas 0-4.
Sulaiman menambah, Harimau Malaya bernasib baik hanya tewas dengan empat gol, dan kekalahan ini menunjukkan jurang prestasi yang perlu segera diatasi menjelang kelayakan Piala Asia. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian