Beregu lelaki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani kini muncul sebagai permata baharu dalam sukan badminton negara.
Mereka mencipta sensasi dengan merangkul tiga kejuaraan tahun ini iaitu Terbuka Jepun 2024 pada 25 Ogos, Terbuka China pada 22 September, dan Terbuka Artik baru-baru ini.
Paling membanggakan, mereka menjadi beregu lelaki pertama Malaysia yang memenangi Terbuka China selepas 35 tahun, kali terakhir dimenangi legenda negara, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Razif Sidek pada 1989.
Pencapaian luar biasa ini sudah pasti memberi cabaran sengit kepada beregu utama negara, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia. Menurut pemerhati sukan, Sze Fei dan Nur Izzuddin mempunyai masa depan cerah sekiranya mengekalkan prestasi konsisten.
Walaupun sering kali bukan pilihan utama dalam kejohanan, gandingan dari Melaka dan Johor ini tetap menampilkan keyakinan dan magis tersendiri.
Mereka berjaya menumbangkan pasangan ternama dunia seperti juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae serta beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Bekas pemain beregu nombor satu dunia, Tan Boon Heong pernah menyatakan bahawa kekuatan tangan Sze Fei-Nur Izzuddin dalam melakukan ‘smash’ adalah senjata utama mereka.
Boon Heong juga menekankan bahawa setiap pasangan perlu mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam gelanggang sebagai strategi untuk mencapai kemenangan demi kemenangan.
Legenda perseorangan negara, Roslin Hashim turut percaya bahawa pasangan ini berpotensi menjadi pencabar terdekat Wooi Yik-Aaron Chia jika mereka kekal konsisten di pentas antarabangsa.
Kejayaan ini juga memberi bayangan bahawa Malaysia kini hadir sebagai pencabar utama dalam kategori beregu lelaki.
Sebagai info, Sze Fei-Nur Izzuddin telah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 1 September lalu untuk meneruskan karier sebagai pemain profesional.
Pasangan ini juga pernah berpisah pada Januari tahun lalu sebelum disatukan semula enam bulan kemudian. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian