Manchester United sedia menerima tawaran lebih rendah untuk Harry Maguire menjelang jendela perpindahan Januari.
Bekas kapten United berusia 31 tahun itu memasuki baki sembilan bulan dalam kontraknya di Old Trafford.
United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak pertahanan England itu setahun lagi, tetapi akan cuba menjual pemain itu terlebih dahulu.
Skuad kendalian Erik ten Hag dilaporkan sedia mempertimbangkan tawaran serendah 10 juta pound (RM56.01 juta) untuk Maguire.
Pada musim panas 2023, bintang England itu menarik minat beberapa pasukan, antaranya West Ham.
Walaupun hilang tempatnya dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Ten Hag, Maguire memilih untuk kekal di Old Trafford dan mula mendapat kembali kepercayaan pengendali dari Belanda itu.
Musim ini dia memulakan tiga daripada tujuh perlawanan pertama Man United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Sekiranya dijual pada harga yang dilaporkan, ia satu kerugian besar buat United yang membayar 85 juta pound (RM476.26 juta) untuk menandatanganinya pada tahun 2019.
Pada musim panas 2023, harga Maguire sekurang-kurangnya 30 juta pound (RM168.08 juta).
Man Utd menandatangani Matthijs de Ligt dari Bayern Munich, sekali gus membuatkan kedudukan Maguire semakin terancam.
Namun berdasarkan statistik, prestasi Maguire musim ini mengatasi De Ligt dan Lisandro Martinez.
Sebelum rehat perlawanan antarabangsa, Maguire menjaringkan gol penyamaan saat akhir ketika seri 3-3 menentang Porto dalam saingan Liga Europa.
United akan kembali beraksi Sabtu ini, melayan kunjungan Brentford di Old Trafford. – JURNAL
Sumber: AGENSI