Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan kehadiran tentera China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang baru-baru ini, yang tular di media sosial.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kumpulan yang hadir itu sebenarnya terdiri daripada 165 pelajar dan pensyarah dari Naval University of China, bukan tentera seperti yang didakwa.
Fadhlina menjelaskan bahawa rombongan tersebut berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada program memperingati 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
“Saya ingin perbetulkan salah faham ini. Kehadiran itu bukan tentera, sebaliknya pelajar dan pensyarah universiti. Kenyataan yang mendakwa mereka tentera adalah tidak benar sama sekali. Ini adalah salah faham yang perlu diperbetulkan,” kata Fadhlina selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62.
Tambah beliau, lawatan tersebut juga merupakan sebahagian daripada program pertukaran kebudayaan dan sukan antara kedua-dua negara. Sekolah persendirian yang terlibat telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan program ini.
“Sekolah itu sudah pun mendapat persetujuan daripada semua pihak autoriti, dan saya tegaskan ia adalah program berkaitan pelajar dan pertukaran kebudayaan, bukan lawatan tentera,” tambahnya.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa pihak sekolah terlibat telah membuat laporan polis untuk mengelakkan fitnah berterusan.
Kontroversi ini bermula apabila kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih Tentera Laut China (PLA) yang menaiki dua kapal latihan, Qi Jiguang dan JinggangShan, ke Pulau Pinang.
Lawatan itu termasuk kunjungan ke beberapa tempat menarik di negeri tersebut dan sesi interaksi bersama penduduk tempatan.
Bagaimanapun, lawatan sebahagian anggota PLA ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) telah mencetuskan salah faham apabila gambar-gambar kunjungan itu tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. – JURNAL
Sumber: Harian Metro