Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa perkembangan ekonomi Malaysia yang semakin positif kebelakangan ini adalah hasil daripada tatakelola yang semakin mantap serta penggubalan dasar yang jelas, terutamanya dalam sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga, dan semikonduktor.
Menurut Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, melalui hantaran di platform X hari ini, Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasi ekonominya.
Beliau menekankan bahawa semangat untuk melaksanakan perubahan dengan penuh keikhlasan adalah kunci untuk Malaysia menjadi antara negara terunggul di dunia.
“Saya yakin, semakin ramai rakyat yang menyedari keperluan untuk Malaysia membuat perubahan yang lebih agresif dan bermakna, demi melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi. Jika tidak, kita berisiko menghadapi kemerosotan ekonomi yang suram dan lembap,” jelasnya.
Anwar turut menegaskan bahawa kestabilan politik yang dinikmati Malaysia kini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki tatakelola, serta mengukuhkan amalan pengurusan yang beramanah dan bertanggungjawab, demi mengangkat martabat dan kedudukan negara di mata dunia.
Ketika ini, Anwar dan delegasi Malaysia berada di Vientiane, Laos, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45. – JURNAL