Izz Imil Shahrom, seorang kanak-kanak genius berusia 12 tahun, kini melakar sejarah apabila diterima masuk untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).
Pengumuman ini disahkan oleh pihak UM dalam satu kenyataan rasmi.
“UM ingin mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil, sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains, UM,” menurut kenyataan tersebut.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, turut mengesahkan bahawa Izz telah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas sebelum kemasukannya diluluskan oleh Senat Universiti.
Melihat kepada usia Izz yang masih muda, UM meminta semua pihak memberi ruang dan privasi kepadanya bagi memudahkan proses penyesuaian di universiti.
“Ini penting agar Izz dapat melalui proses pembelajaran dan tumbesaran yang kondusif,” kata Noor Azuan.
Pada tahun 2018, media pernah melaporkan tentang kebolehan luar biasa Izz yang ketika itu berusia lima tahun.
Walaupun menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia, beliau sudah mampu menyelesaikan soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat pada usia muda.
Ibunya, Ilyah Abdul Aziz, dan bapanya, Imil Shahrom Abdul Ghani, menyedari bakat anak mereka sejak usia tiga tahun apabila Izz mula menunjukkan minat mendalam terhadap angka.
Ilyah menyatakan bahawa Izz mempunyai kecenderungan terhadap Matematik dan Sains, yang membolehkan beliau menjawab soalan aras tinggi dalam kedua-dua subjek.
Sebelum ini, Izz juga telah terpilih sebagai salah seorang daripada 138 pelajar yang mendaftar di Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk sesi pembelajaran khas. – JURNAL