Jenama teknologi global, HONOR, sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran peranti flagship terbarunya yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), menetapkan standard baharu dalam industri.
Tiga peranti canggih yang diperkenalkan direka khas untuk pengguna yang mahukan teknologi termaju dan penuh inovasi.
HONOR Magic V3, yang diiktiraf sebagai telefon boleh lipat AI paling nipis dan ringan di dunia, tampil dengan reka bentuk moden serta keupayaan AI yang luar biasa. Dengan ciri-ciri ini, ia menetapkan penanda aras baharu dalam dunia telefon pintar.
Selain itu, HONOR MagicBook Art 14 turut mencatatkan rekod sebagai komputer riba paling nipis dan ringan dalam koleksi HONOR, dengan ketebalan hanya 1 sentimeter (cm) dan berat 1 kilogram (kg).
“Dilengkapi dengan kamera magnetik termaju, komputer riba ini menawarkan kemudahan mobiliti tanpa menjejaskan privasi pengguna,” ujar kenyataan dari HONOR Malaysia.
Tidak ketinggalan, HONOR MagicPad 2, dengan paparan OLED 3K yang memimpin pasaran, menawarkan pengalaman visual yang menakjubkan, sesuai untuk menonton media dan menjalankan tugasan kreatif.
Untuk memperkukuh keupayaan peranti-peranti ini, HONOR turut memperkenalkan sistem operasi MagicOS 8.0.1 yang dikuasakan oleh AI, membolehkan interaksi yang lancar antara pelbagai peranti.
“Teknologi HONOR MagicRing membolehkan pengguna menikmati ekosistem pintar yang saling berhubung dan berkongsi perkhidmatan dengan mudah di antara semua peranti,” kata wakil HONOR.
Dengan HONOR MagicRing, pengguna boleh melakukan sehingga lapan operasi serentak merentasi pelbagai peranti. Panggilan boleh dibuat dan diterima tanpa menggunakan kad SIM di HONOR Magic V3, manakala notifikasi dari aplikasi popular seperti WhatsApp dan Instagram dapat diterima di semua peranti yang disambungkan.
Selain itu, pengguna boleh menggunakan papan kekunci dan tetikus HONOR MagicBook Art 14 untuk mengawal HONOR Magic V3 dan HONOR MagicPad 2, manakala kamera kedua-dua peranti tersebut boleh digunakan serentak untuk merakam gambar dan video berkualiti tinggi dalam masa sebenar.
“Kemudahan HONOR Share membolehkan pengguna memindahkan fail dengan mudah dari telefon ke komputer riba tanpa sambungan fizikal, menjadikan kolaborasi lebih efisien. Dalam situasi ketiadaan Wi-Fi, data mudah alih boleh dikongsi dengan hanya satu klik tanpa perlu menetapkan hotspot,” tambah kenyataan itu.
HONOR Magic V3 hadir dengan RAM 12GB dan storan 512GB pada harga RM6,999, serta tersedia dalam tiga warna menarik: Mossy Green, Silk Brown, dan Classic Black.
HONOR MagicBook Art 14, dengan RAM 16GB dan storan 1TB, boleh didapati pada harga RM5,999 dalam warna Emerald Green, manakala HONOR MagicPad 2 ditawarkan pada harga RM2,799, disertakan percuma HONOR Magic Pencil 3 dan HONOR Magic Keyboard, dalam pilihan warna Moonlight White dan Black. – JURNAL