Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam menyelesaikan isu kontroversi membabitkan rumah amal syarikat GISB Holdings (GISBH).
Anwar menjelaskan bahawa jika tiada tindakan diambil, beliau menganggap dirinya telah gagal sebagai seorang pemimpin.
“Alhamdulillah, Tuhan kurniakan saya kesihatan yang baik, tetapi saya tetap nekad dan tidak akan mengalah. Jika isu GISBH memerlukan kompromi, tiada makna saya menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani ‘Mencorak Peralihan Tenaga yang Mampan untuk Masa Depan Negara yang Sejahtera’, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa kaedah perniagaan GISBH didapati dipengaruhi oleh pegangan Aurad Muhammadiah yang digunakan dalam urusan perniagaan mereka.
Berdasarkan hasil siasatan, PDRM telah memperoleh lanjutan reman selama empat hari terhadap ahli GISBH di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Anwar menegaskan bahawa tindakan akan diambil ke atas mana-mana individu yang melanggar undang-undang, tidak kira status atau kerap mereka bercakap mengenai Islam.
“Kita tak boleh kompromi soal akhlak dan nilai. Walaupun seseorang itu bercakap tentang Islam hingga berbuih mulut, jika terlibat dengan rasuah atau GISBH, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian