Malaysia berjaya menduduki tempat kedua dalam pengalaman kelajuan muat turun 5G dan tempat ketiga dalam kelajuan muat naik 5G di Asia Pasifik, menurut laporan terbaru oleh syarikat analitik rangkaian, Opensignal.
Dalam Laporan Penanda Aras Pengalaman Rangkaian Mudah Alih Asia Pasifik bagi September 2024, yang merangkumi data dari 1 April hingga 30 Jun 2024, Malaysia mencatatkan kelajuan muat turun 5G sebanyak 295.5 megabit sesaat (Mbps). Kedudukan ini hanya di belakang Korea Selatan yang terus memimpin.
Selain itu, Malaysia juga mencatatkan 34 Mbps untuk kelajuan muat naik 5G, sekaligus menduduki tempat ketiga selepas Korea Selatan dan Taiwan.
Opensignal menjelaskan prestasi cemerlang ini dicapai melalui rangkaian borong 5G negara, dengan ketersediaan 5G di Malaysia mencapai 31.8 peratus, meletakkannya di lima teratas untuk pasaran Asia Pasifik.
Namun begitu, walaupun dengan prestasi rangkaian yang positif, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) Malaysia kini sedang dalam proses membida untuk membina rangkaian 5G kedua di negara ini.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa Malaysia, bersama India dan Sri Lanka, mengalami peningkatan kelajuan terbesar apabila beralih dari 4G ke 5G.
Walaupun Sri Lanka mencatat peningkatan kelajuan lebih tinggi, kurang dari dua peratus pangkalan pengguna di negara itu menggunakan peranti berkemampuan 5G.
Sebaliknya, Malaysia mencatatkan lebih 37 peratus sambungan 5G menurut data GSMA Intelligence.
Secara keseluruhannya, pengguna di Korea Selatan menikmati kelajuan muat turun dan muat naik 5G yang terpantas di Asia Pasifik, dengan masing-masing mencatat 133.3 Mbps dan 21.4 Mbps.
Ini berikutan peratusan sambungan 5G yang tinggi, di mana lebih separuh daripada semua sambungan di Korea Selatan adalah melalui rangkaian 5G.
Laporan Opensignal turut menilai pengalaman liputan 5G berdasarkan liputan geografi kawasan berpenduduk untuk menggambarkan realiti pengalaman pengguna harian. – JURNAL
Sumber: Berita Harian