Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Mahkota mula menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.
Seawal jam 7 pagi, anggota ATM yang lengkap beruniform, bersama pasangan masing-masing, mula beratur di Dewan Mahkota untuk melaksanakan kewajipan mereka.
Proses pengundian awal bermula jam 8 pagi, dengan seramai 4,510 pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK kali ini.
Daripada jumlah tersebut, 3,865 pengundi dijangka mengundi di lapan saluran yang disediakan di Dewan Mahkota.
Keseluruhan proses mengundi akan berlangsung sehingga jam 5 petang ini sebelum pusat mengundi ditutup.
PRK DUN Mahkota kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK ini diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
DUN Mahkota, yang berada dalam kawasan Parlimen Kluang, mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada hari Sabtu ini. – JURNAL
Sumber: Berita Harian