Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memikul tanggungjawab pendidikan lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global bermula 1 Oktober ini, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Kanak-kanak yang sebelum ini tidak pernah menerima pendidikan formal itu kini berada di tempat perlindungan dan akan mengikuti program pendidikan khas yang disediakan KPM.
Fadhlina berkata, modul khas akan digunakan untuk membimbing kanak-kanak ini yang sedang melalui beberapa penilaian, termasuk aspek asas 3M (membaca, menulis, mengira) dan kesejahteraan psikososial.
Penilaian ini bertujuan untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sesuai dengan tahap mereka, walaupun proses pembelajaran akan berlaku di tempat perlindungan mereka buat masa ini.
“KPM akan mengambil alih sepenuhnya pendidikan kanak-kanak ini setelah selesai penilaian. Kami komited untuk memastikan anak-anak ini tidak ketinggalan dalam pendidikan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM.
Kanak-kanak ini merupakan anak-anak pengikut GISBH yang diselamatkan oleh polis melalui operasi di beberapa negeri.
GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak tersebut, dengan sebahagian mereka diberikan nama ‘Abdullah’ sehingga tidak mengenali ibu bapa kandung masing-masing.
Program pendidikan khas ini akan dibahagikan kepada tiga kohort iaitu prasekolah, sekolah rendah, dan sekolah menengah, dengan fasa pertama dijangka berlangsung selama dua bulan.
Sekiranya perlu, ia akan dilanjutkan ke fasa kedua bagi memastikan kanak-kanak tersebut mendapat pendidikan yang setaraf dengan pelajar lain.
Fadhlina turut menegaskan bahawa pihak KPM sedang meneliti sama ada tindakan di bawah Akta Pendidikan 1996 akan diambil terhadap ibu bapa kanak-kanak ini yang telah menghalang mereka daripada menerima pendidikan wajib.
Pasukan undang-undang KPM akan membuat keputusan berdasarkan hasil siasatan yang sedang dijalankan. – JURNAL
Sumber: Harian Metro