Seperti dijangka, akaun Facebook (FB) pengadil Kim Dae-Yong pula menjadi sasaran penyokong Harimau Malaysia selepas Ryuji Sato baru-baru ini.
Pengadil dari Korea Selatan itu dikecam selepas menafikan tandukan Dominic Tan yang masuk ke gawang gol Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand dalam saingan Piala AFF 2022 yang berlangsung malam tadi (Sabtu) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Netizen kecewa dengan keputusan Dae-Yong kerana tidak mengesahkan jaringan Dominic, sekaligus meranapkan peluang Harimau Malaya membawa bekalan dua gol ke tempat lawan.
“Ingatkan Ryuji Sato saja pengadil tidak berkualiti rupanya yang ini pun sama. FIFA hantar pengadil jenis apa ni?,” tulis seorang pelayar Facebook.
“Keputusan yang salah! Jaringan Malaysia adalah sah. Perlanggaran berlaku melibatkan penjaga gol dan pemain pertahanan Thailand,” tulis seorang lagi.
“Dae-Won dah boleh berhenti jadi pengadil, balik Korea meniaga kimchi lagi bagus. Memalukan,” kata yang lain pula.
Kesemua komen itu ditinggalkan menerusi status yang dimuat naik Dae-yong pada 2020.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada akaun itu merupakan akaun rasmi Dae-yong.
Thailand akan menerima kunjungan skuad kebangsaan ke Stadium Thammasat, Bangkok pada 10 Januari nanti.
Sebelum ini, pengadil dalam perlawanan antara skuad kebangsaan bertemu Vietnam, Ryuji Sato dari Jepun juga mendapat kecaman penyokong kerana keputusan kontroversinya. – JURNAL