Nike mengumumkan bahawa Ketua Eksekutifnya, John Donahoe, akan bersara pada 13 Oktober ini dan akan meneruskan peranannya sebagai penasihat sehingga awal tahun depan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Keputusan ini diambil ketika jenama pakaian sukan terbesar dunia itu berdepan cabaran sengit dalam sektor runcit global.
Walaupun permintaan terhadap kasut Nike mula merosot di pasaran antarabangsa seperti China, dan harga saham syarikat turut mengalami kejatuhan, pengumuman bahawa veteran syarikat, Elliott Hill, akan kembali menerajui firma tersebut telah memberi suntikan positif kepada pasaran.
Saham Nike melonjak lebih daripada 9% dalam dagangan selepas waktu pasaran.
Donahoe, yang menyertai lembaga pengarah Nike pada 2014 dan menjadi Ketua Eksekutif pada 2020, banyak menyumbang kepada pengukuhan kehadiran Nike di platform dalam talian serta meningkatkan jualan terus kepada pelanggan tanpa bergantung sepenuhnya kepada rakan kongsi di pusat beli-belah dan kedai di jalan utama.
Tempoh perkhidmatan Donahoe tidak mudah apabila Nike terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam landskap runcit sewaktu pandemik, di samping peningkatan inflasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tambahan pula, Nike terpaksa bersaing dengan jenama baharu yang lebih inovatif seperti On dan Hoka, yang kini menjadi pilihan pengguna.
Nike berharap produk baharu dan kempen pemasaran sempena Sukan Olimpik di Paris akan membantu menarik semula minat pembeli terhadap jenama tersebut.
Namun, dalam pengumuman rasmi pada Khamis, Nike dan Donahoe memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk perubahan kepimpinan.
“Sudah jelas sekarang adalah masa yang tepat untuk perubahan kepimpinan,” kata Donahoe, sambil menambah bahawa Elliott Hill adalah individu yang sesuai untuk memimpin syarikat ini ke hadapan.
Elliott Hill, yang pernah berkhidmat dalam beberapa jawatan kepimpinan kanan di Eropah dan Amerika Syarikat, bersara dari Nike empat tahun lalu, namun kini kembali dengan semangat baharu untuk menerajui jenama tersebut.
Beliau menyatakan keterujaannya untuk kembali bekerjasama dengan pekerja lama.
“Bersama pasukan berbakat kita, saya teruja untuk melancarkan produk-produk inovatif yang membezakan kami di pasaran dan memikat hati pengguna untuk tahun-tahun akan datang,” kata Hill dengan penuh optimis.
Dengan peralihan kepimpinan ini, Nike berusaha untuk terus mengekalkan kedudukan mereka sebagai peneraju industri sukan global meskipun berdepan persaingan yang semakin sengit. – JURNAL
Sumber: NIKE