Dua kenderaan milik Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) yang sedang menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan terlibat dalam serangan oleh sekumpulan orang awam, kelmarin.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui kenyataan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, memaklumkan bahawa insiden tersebut berlaku sekitar jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).
Kejadian berlaku ketika dua kenderaan ‘Fitted For Radio’ (FFR) MALBATT 850-11, yang membawa tiga pegawai dan tujuh anggota, sedang dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah setelah menamatkan penugasan di Kem Shama.
Menurut kenyataan tersebut, ketika mereka melalui jalan Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa di mana ramai orang awam mengawal lalu lintas. Terdapat ambulans dan kenderaan bomba di kedua-dua arah.
“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam yang bertindak agresif cuba memberhentikan kenderaan MALBATT dan mula membaling batu serta memancitkan kesemua tayar dengan senjata tajam,” jelas kenyataan itu.
Ketua pergerakan segera mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan yang selamat untuk mengelakkan kejadian lebih buruk dan semua anggota kekal berada dalam kenderaan sementara menunggu bantuan.
Pasukan Tentera Lubnan (LAF) tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal keadaan sebelum membawa kenderaan dan anggota kembali ke Kem Marakah pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan akibat serangan tersebut.
MALBATT 850-11 akan meneruskan tugasan mengikut mandat UNIFIL, dan ATM meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.
Sebelum ini, video insiden serangan tersebut telah tular di media sosial. – JURNAL