Amazon telah mengumumkan bahawa kakitangannya akan kembali bekerja sepenuhnya di pejabat mulai Januari tahun depan, sekali gus menamatkan polisi kerja hibrid yang membenarkan bekerja dari rumah dua hari seminggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Andy Jassy, dalam satu memo kepada kakitangannya menyatakan keputusan itu dibuat untuk mengembalikan cara kerja sebelum pandemik Covid-19.
Jassy turut menekankan bahawa kehadiran sepenuh masa di pejabat akan memudahkan kakitangan “berinovasi, berkolaborasi, dan kekal terhubung antara satu sama lain” dengan lebih baik.
Jassy, yang dikenali sebagai seorang yang skeptikal terhadap kerja dari rumah, percaya bahawa polisi kerja fleksibel telah mencairkan budaya korporat Amazon yang selama ini mengekalkan intensiti seperti sebuah syarikat permulaan walaupun telah berkembang menjadi gergasi teknologi.
Amazon, yang mempunyai lebih daripada 1.5 juta pekerja di seluruh dunia termasuk dalam peranan sepenuh dan separuh masa, telah berdepan ketegangan dalaman sejak polisi kerja hibrid diperkenalkan.
Tahun lalu, kakitangan di ibu pejabat syarikat di Seattle mengadakan protes setelah Amazon memperketatkan kebenaran bekerja sepenuhnya dari rumah, yang sebelum ini diberikan sepanjang pandemik.
Susulan protes itu, penganjur acara tersebut dipecat oleh syarikat, yang mencetuskan tuduhan tindak balas tidak adil. Kes ini kini dalam pertikaian dan sedang diambil tindakan oleh pihak berkuasa buruh.
Jassy dalam mesej terbarunya turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan birokrasi dan menyatakan hasrat untuk mengurangkan lapisan tersebut demi mengekalkan budaya kerja yang lebih dinamik. – JURNAL
Sumber: BBC