Keluarga kepada individu dikenali sebagai ‘Abang Bas’ kini berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu, termasuk selebriti, yang didakwa menyebarkan fitnah serta mencetuskan kecaman terhadapnya ketika dalam tahanan polis.
Menurut peguamnya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili secara pro bono, keputusan untuk saman akan dibuat berikutan tekanan hebat yang diterima ahli keluarga susulan kes Abang Bas.
“Keluarga telah menerima pelbagai kecaman di media sosial, jadi mereka berhasrat untuk menyaman pihak terlibat. Ramai yang dikenalpasti, termasuk selebriti, kerana mereka tidak memberikan peluang kepada Abang Bas untuk membela diri ketika itu,” katanya selepas sesi ikat jamin di Kompleks Mahkamah Muar.
Bagaimanapun, Ahmad Zaharil menjelaskan bahawa individu yang terlibat masih berpeluang untuk memohon maaf kepada keluarga Abang Bas bagi mengelakkan tindakan saman diteruskan.
Sambil berseloroh, Ahmad Zaharil menambah, “Pecahkan mana-mana tabung yang ada, kira siap-siap… nanti senang untuk kita kira jumlah saman.”
Selain itu, peguam tersebut turut memaklumkan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan semula bas yang kini disita polis sebagai sebahagian daripada siasatan kes tersebut.
Mereka juga sedang mengusahakan rayuan untuk mengurangkan jumlah ikat jamin yang dikenakan terhadap Abang Bas.
“Saya sangat bersimpati dengan keadaan Abang Bas dan akan terus membantunya. Kita tidak boleh membuat andaian hanya berdasarkan satu perspektif tanpa mengenali beliau dengan lebih mendalam,” ujar Ahmad Zaharil.
Ahmad Zaharil turut menyeru masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam membuat sebarang andaian di media sosial. – JURNAL
Sumber: Harian Metro