Microsoft, syarikat induk Xbox, bakal memberhentikan kira-kira 650 pekerja dari bahagian permainan videonya selepas penggabungan bernilai $69 bilion (RM322 bilion) yang melibatkan syarikat Activision-Blizzard.
Pengurangan ini akan memberi kesan kepada pekerja di seluruh dunia, terutamanya yang terlibat dalam fungsi korporat dan sokongan.
Ini bukan kali pertama gergasi perisian itu melakukan pemotongan pekerja, selepas memberhentikan 1,900 kakitangan pada Januari dan menutup empat studio permainan video pada Mei lalu.
Bagaimanapun, Xbox, melalui kenyataan Ketua Xbox, Phil Spencer, menegaskan tiada permainan, peranti, atau studio yang akan ditutup akibat pemberhentian terbaru ini.
Pengambilalihan Activision-Blizzard pada Oktober lalu turut merangkumi Candy Crush dan Zenimax (pemilik Bethesda, yang terkenal dengan permainan Fallout).
Spencer menyatakan bahawa pemotongan ini dilakukan untuk menyelaraskan struktur pasukan selepas penggabungan demi kejayaan jangka panjang.
Walaupun tiada studio atau permainan yang terjejas secara langsung, terdapat perubahan yang bakal memberi kesan kepada pasukan lain yang perlu menyesuaikan diri dengan keutamaan baharu dan menguruskan kitaran hayat serta prestasi permainan.
Dalam industri permainan video, pemberhentian besar-besaran bukanlah perkara asing.
Dalam dua tahun terakhir, Sony, Riot Games (pencipta League of Legends), dan Epic Games (pemilik Fortnite) turut memberhentikan ratusan pekerja.
Microsoft sebelum ini turut menerima kritikan kerana menutup studio Arkane Austin dan Tango Gameworks.
Walaupun pendapatan bahagian permainan Microsoft meningkat, terutamanya disebabkan oleh pengambilalihan Activision-Blizzard yang menghasilkan World of Warcraft, Diablo, dan Overwatch, jualan perkakasan Xbox dilaporkan menurun.
Kini, syarikat itu berusaha mengembangkan jualan perisiannya. – JURNAL
Sumber: BBC