Malaysia kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada pangkalan data ‘WIPO Alert Data Sharing Platform’ yang dikendalikan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), satu langkah besar dalam memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara di era digital.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, menyatakan bahawa penyertaan Malaysia dalam platform ini adalah bukti komitmen negara untuk melindungi harta intelek dan menentang pelanggaran hak cipta secara dalam talian.
“Saya hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan WIPO di ibu pejabat WIPO, Geneva. Dengan penyertaan ini, Malaysia kini bergabung dengan 14 negara lain yang berada di barisan hadapan dalam platform ini,” katanya.
WIPO Alert adalah platform dalam talian yang membantu agensi penguatkuasa memuat naik serta mengakses senarai laman sesawang yang melanggar hak cipta.
Melalui perkongsian maklumat ini, Malaysia dapat memperkukuhkan langkah dalam menangani cetak rompak digital dan pelanggaran harta intelek di platform digital.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkuatkan penguatkuasaan harta intelek negara, tetapi juga mempermudah tindakan memerangi cetak rompak digital dan kandungan iklan tanpa kebenaran,” tambah Armizan.
Beliau turut memaklumkan bahawa dari tahun 2018 hingga 2024, sebanyak 4,084 laman sesawang telah disekat oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN dengan kerjasama MyIPO serta agensi-agensi lain. – JURNAL
Sumber: Kosmo!