Carsome Group Inc, platform e-dagang kereta bersepadu, mengumumkan penerimaan pembiayaan lebih RM200 juta daripada AMMB Holdings Bhd dan Maybank untuk menyokong rancangan pengembangannya.
Dana ini akan digunakan untuk mempercepatkan tawaran pembiayaan, insurans, selepas jualan, dan penyelesaian sehenti yang lebih komprehensif bagi peniaga dan pelanggan.
“Kami kini dalam kedudukan yang kukuh untuk mengembangkan lagi perniagaan, memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sepanjang proses pemilikan kenderaan mereka,” kata Pengasas Bersama dan CEO Carsome, Eric Cheng.
Cheng turut menyatakan bahawa Carsome telah menunjukkan rekod prestasi operasi yang mantap dengan kadar pinjaman tidak berbayar sangat rendah iaitu di bawah dua peratus untuk runcit dan hanya 0.1 peratus untuk borong.
Sejak Disember 2023, Carsome melaporkan pertumbuhan positif, dengan sekitar 35,000 transaksi kenderaan dan peningkatan hasil sembilan peratus suku ke suku, mencecah lebih RM1.3 bilion pada suku kedua 2024.
Syarikat juga mencapai margin kasar lebih 10 peratus serta peningkatan tiga kali ganda dalam EBITDA berbanding suku sebelumnya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian