Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulakan lawatan kerjanya ke Sabah dengan menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah pada malam Rabu.
Majlis tersebut diadakan di Hotel Magellan Sutera, Kota Kinabalu, di mana Anwar tiba sekitar jam 7.25 malam.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama barisan Kabinet Negeri Sabah.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. Antara tetamu lain yang turut serta ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; serta beberapa menteri negeri yang lain termasuk Datuk Christina Liew dan Datuk Ewon Benedick.
Hari ini, Anwar dijadualkan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Mesyuarat penting ini, yang bermula pada jam 2.30 petang, dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada pagi ini, Perdana Menteri akan berlepas ke FELDA Sahabat, Lahad Datu, bagi menghadiri program Santunan Budi Tautan Kasih FELDA MADANI.
Program ini dijadual bermula pada jam 9.30 pagi.
Selesai program di pantai timur Sabah itu, Anwar akan kembali ke Kota Kinabalu untuk mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 sebelum kembali ke Kuala Lumpur. – JURNAL