Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Ha Long dan Sa Pa dinasihatkan menangguhkan rancangan perjalanan buat masa ini berikutan kesan Taufan Yagi di Vietnam Utara, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam.
Menurut amaran cuaca yang dimuat naik di laman Facebook kedutaan pada Selasa, rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau terpaksa melakukan perjalanan ke kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk memantau berita tempatan dengan teliti dalam beberapa hari akan datang.
“Lakukan e-daftar dengan Misi kami di https://ekonsular.kln.gov.my/login dan ambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan, ikuti nasihat dan patuhi cadangan/arahan daripada pihak berkuasa tempatan yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, boleh menghubungi Pegawai Bertugas di +84904185610 atau e-mel di mwhanoi@kln.gov.my.
Menurut kedutaan, hujan lebat akibat Taufan Yagi menyebabkan banjir dan tanah runtuh teruk di Lao Cai, Yen Bai, Thai Nguyen dan Cao Bang.
Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran dengan hujan yang masih berterusan dan paras air yang semakin meningkat, terdapat kemungkinan berlakunya banjir meluas di kawasan utara, termasuk kawasan sekitar Hanoi.
Amaran banjir di Hanoi akibat paras air Sungai Merah yang meningkat ke sekurang-kurangnya Tahap Amaran 1 telah dikeluarkan untuk kawasan berikut: pantai Phuc Tan (Ward Phuc Tan, Daerah Hoan Kiem, Hanoi), pantai Phuc Xa (Ward Phuc Xa, Daerah Ba Dinh, Hanoi), Tu Lien, Quang Ba, Phu Thuong (Daerah Tay Ho), menurut kedutaan.
Menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA) pada Selasa, Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengarahkan kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan untuk bekerja sepanjang masa dalam menghadapi situasi kecemasan susulan banjir yang kompleks di bandar dan wilayah utara berikutan Taufan Yagi.
Dalam ucapan sebelum mesyuarat anggota kabinet tetap mengenai pembinaan undang-undang, perdana menteri menyatakan banjir dan tanah runtuh pasca taufan menyebabkan 296 orang maut dan hilang setakat 3 petang pada hari itu, serta menekankan bahawa kesihatan dan nyawa rakyat mesti diutamakan, menurut VNA.
Pemimpin kerajaan mengarahkan penglibatan seluruh sistem politik dan pelaksanaan semua langkah untuk mengatasi banjir dan tanah runtuh, menurut laporan itu. – JURNAL
Sumber: BERNAMA