Cristiano Ronaldo menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam kariernya apabila menjaringkan gol ke-900 awal pagi tadi, membantu Portugal meraih kemenangan 2-1 ke atas Croatia di Lisbon, dalam perlawanan pertama Liga Negara-Negara UEFA.
Pada usia 39 tahun, Ronaldo menyempurnakan hantaran Nuno Mendes pada minit ke-34 di Estadio da Luz untuk mencipta sejarah peribadinya.
“Hanya saya yang tahu betapa sukarnya bekerja setiap hari untuk mencapai gol ke-900 ini. Ini adalah pencapaian yang unik dalam karier saya. Saya tidak kejar rekod, rekod yang kejar saya,” ujar Ronaldo dengan penuh emosi.
Gol itu juga menandakan jaringan ke-131 bintang Al-Nassr itu bersama pasukan kebangsaannya.
Ronaldo kelihatan beremosi dan menitiskan air mata kegembiraan ketika meraikan pencapaian luar biasa tersebut.
“Saya sudah berusia 39 tahun, dan untuk berada di tahap ini memerlukan banyak fokus dan dedikasi. Setiap pencapaian, sama ada kecil atau besar, membuatkan saya terharu kerana saya tahu pengorbanan saya. Tanpa rakan sepasukan, ini tidak mungkin terjadi,” katanya lagi.
Setengah daripada 900 gol Ronaldo dijaringkan bersama Real Madrid, manakala selebihnya di Sporting Lisbon, Manchester United, dan kelab semasanya, Al-Nassr.
Beberapa hari sebelum perlawanan ini, Ronaldo turut menyatakan hasratnya untuk mencapai 1,000 gol menjelang usianya 41 tahun dalam salah satu video di laman YouTube miliknya.
“Saya penjaring gol terbanyak dalam sejarah dunia, tetapi saya akan naikkan lagi tahap itu. Akan datang saya akan jaringkan 900 (gol), selepas itu saya akan melepasi 1,000 (gol),” katanya dengan penuh keyakinan.
Dalam perlawanan menentang Croatia, Diogo Dalot membuka jaringan untuk Portugal sebelum Ronaldo menambah gol kedua.
Bagaimanapun, Croatia mengurangkan jurang selepas gol sendiri oleh Dalot sebelum tamat separuh masa pertama.
Portugal kini berada dalam Kumpulan A1 Liga Negara-Negara UEFA, bersama Croatia, Poland, dan Scotland. Pasukan Fernando Santos akan bertemu Scotland di Lisbon pada hari Ahad. – JURNAL
Sumber: ESPN