Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pemain berusia 36 tahun ini berjaya menewaskan pemain Indonesia, Suryo Nugroho, dalam aksi final kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena dengan kemenangan meyakinkan 21-13, 21-15, hanya dalam masa 41 minit.
Kehebatan Liek Hou, yang merupakan juara dunia lapan kali, tidak dapat disangkal apabila beliau mempamerkan permainan penuh dominasi sejak awal, memaksa Suryo membuat banyak kesilapan mudah.
Liek Hou yang dibimbing jurulatih Nova Armada, tampil tenang dan fokus walaupun Suryo cuba memberikan tentangan di set kedua.
Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Liek Hou sebagai pemain pilihan utama tetapi juga menyaksikan beliau mempertahankan emas yang dimenanginya di Tokyo 2020.
Malah, Liek Hou bakal membawa pulang ganjaran RM1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Dari awal permainan, Liek Hou telah memberi bayangan emas miliknya apabila sebelum ini dia sudah menundukkan Suryo di peringkat Kumpulan A.
Sebaik saja memasuki gelanggang final, kejayaan seolah-olah sudah ditakdirkan untuk pemain yang beraksi sebagai pilihan utama ini.
Liek Hou bukan sahaja menambah koleksi pingat emasnya, tetapi juga terus menempatkan dirinya dalam sejarah sebagai salah seorang atlet paralimpik terbaik negara. – JURNAL
Sumber: Berita Harian