Mahkamah Tertinggi Brazil dijangka mengundi pada Isnin untuk menentukan sama ada akan mengekalkan keputusan untuk melarang platform media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Undian ini dibuat selepas platform tersebut digantung di negara itu pada awal pagi Sabtu lalu.
Penggantungan tersebut setelah X gagal melantik wakil undang-undang baru di Brazil sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh mahkamah.
Pertelingkahan antara Hakim Alexandre Moraes dan pemilik X, Elon Musk, bermula pada April lalu apabila hakim tersebut mengarahkan penggantungan puluhan akaun yang didakwa menyebarkan maklumat palsu.
Mahkamah Tertinggi Brazil terdiri daripada 11 orang hakim, yang dibahagikan kepada dua dewan dengan lima anggota setiap satu, tidak termasuk ketua hakim.
Dewan-dewan ini boleh mengundi sama ada untuk mengekalkan atau menolak keputusan yang dibuat oleh mana-mana hakimnya.
Hakim Moraes adalah anggota dewan pertama yang akan menyemak semula keputusannya untuk melarang X.
Mengulas mengenai keputusan untuk melarang X, Elon Musk berkata, “Kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi, dan seorang ‘pseudo-hakim’ yang tidak dipilih di Brazil sedang merosakkannya demi tujuan politik.”
Dalam keputusannya, Hakim Moraes memberikan syarikat-syarikat seperti Apple dan Google tempoh lima hari untuk menghapuskan X dari kedai aplikasi mereka dan menyekat penggunaannya pada peranti iOS dan Android.
Beliau juga menyatakan bahawa individu atau perniagaan yang masih mengakses X menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) boleh didenda sebanyak R$50,000 ($8,910; £6,780).
X telah menutup pejabatnya di Brazil bulan lalu, dengan menyatakan bahawa wakilnya telah diancam dengan penahanan jika tidak mematuhi perintah yang disifatkan sebagai “penapisan”, yang menurut mereka adalah tidak sah di bawah undang-undang Brazil.
Hakim Moraes sebelum ini mengarahkan bahawa akaun-akaun X yang dituduh menyebarkan maklumat palsu, kebanyakannya adalah penyokong bekas presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro mesti disekat sementara mereka sedang disiasat.
Brazil dikatakan sebagai salah satu pasaran terbesar untuk rangkaian media sosial milik Elon Musk itu. – JURNAL
Sumber: BBC