Selepas 10 tahun, Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah Sukan SEA, dengan kali terakhir negara ini menganjurkan temasya dwitahunan itu pada tahun 2017.
Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Kerajaan menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2027.
Menurut kenyataan KBS, keputusan ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan ini juga mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri, iaitu Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang, yang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjayakan temasya ini bersama Kuala Lumpur.
“Jemaah Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) XXI atas kejayaan mengendalikan temasya yang berakhir pada 24 Ogos lalu,” jelas KBS.
Sebagai rekod, pada edisi 2017, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dengan merangkul 145 pingat emas, 92 pingat perak, dan 86 pingat gangsa.
Dengan penganjuran edisi 2027, Malaysia akan mencatat sejarah sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh, selepas menganjurkan temasya pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989, 2001, dan 2017.
Sementara itu, edisi ke-33 Sukan SEA akan berlangsung pada Disember tahun depan di Thailand, dengan tiga lokasi utama iaitu Bangkok, Chonburi, dan Songkhla menjadi venue pertandingan. – JURNAL