Taufan Shanshan membadai Pulau Kyushu di selatan Jepun awal pagi Khamis, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran tertinggi untuk angin kencang dan ribut serta menasihatkan ribuan penduduk untuk berpindah.
Menurut Pejabat Meteorologi Jepun, taufan ini adalah yang paling kuat melanda Jepun tahun ini, dengan tiupan angin mencapai kelajuan sehingga 252 kilometer sejam, membadai pada kira-kira jam 8 pagi.
Pengendali utiliti di Kyushu melaporkan bahawa 254,610 rumah kini terputus bekalan elektrik akibat ribut ganas ini.
“Amaran khas ribut ganas, ombak tinggi, dan air pasang telah dikeluarkan untuk wilayah Kagoshima di Kyushu. Berwaspadalah pada tahap maksimum terhadap ribut ganas, ombak tinggi, dan air pasang besar di Kagoshima, serta risiko tanah runtuh, banjir di kawasan rendah, dan sungai yang melimpah di selatan Kyushu. Risiko bencana akibat hujan lebat juga dijangka meningkat dengan cepat di barat Jepun menjelang Jumaat,” kata Pejabat Meteorologi Jepun.
Sejak Selasa lalu, hujan lebat dibawa oleh Taufan Shanshan telah melanda sebahagian besar Jepun, menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan.
Di Gamagori, sebuah bandar di tengah wilayah Aichi, tiga ahli keluarga maut selepas rumah mereka ditimbus tanah runtuh.
Mangsa termasuk pasangan suami isteri berusia 70-an dan anak lelaki mereka berusia 30-an, manakala dua anak perempuan mereka yang berusia 40-an terselamat dengan kecederaan.
Rakaman video dari penyiar awam NHK TV menunjukkan jubin bumbung diterbangkan angin, tingkap pecah, dan pokok-pokok tumbang akibat taufan yang dahsyat ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo turut mengeluarkan amaran kepada rakyat Malaysia di Jepun menerusi laman Facebook mereka, menggesa agar mereka mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak perlu ke kawasan terjejas.
“Taufan yang diklasifikasikan sebagai ‘sangat kuat’ ini dijangka membawa hujan lebat, angin kencang, ombak tinggi, laut bergelora, dan berisiko menyebabkan tanah runtuh serta banjir sungai,” kata kedutaan tersebut.
Taufan Shanshan dilaporkan sedang menghampiri Wilayah Kagoshima, dengan kesan ribut dijangka berlarutan sehingga hujung minggu. – JURNAL
Sumber: Harian Metro