PROTON e.MAS 7, model kenderaan elektrik (EV) pertama dari jenama automotif kebanggaan negara, akan membuat kemunculan awam sulungnya pada perarakan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.
Setelah dipratonton kepada media pada 2 Ogos lalu, model ini dijangka dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun ini.
EV nasional ini akan tampil dengan motif penyamaran istimewa yang berinspirasikan warna Jalur Gemilang, menjadi salah satu daripada 25 kereta PROTON yang bakal menyertai perarakan tersebut.
Kontinjen ini merangkumi pelbagai model ikonik, dari Proton Saga yang asal hingga Proton X70 2025, yang baru dilancarkan.
PROTON, yang telah mengukir sejarah selama 41 tahun dalam industri automotif Malaysia, kini bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan e.MAS 7.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, menyatakan bahawa e.MAS 7 bukan sahaja merupakan EV pertama mereka, malah model ini juga adalah hasil kerjasama pertama PROTON dengan pasukan dari Geely.
Kerjasama ini membolehkan PROTON mempercepatkan masa pengeluaran versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan meningkatkan kecekapan serta perkongsian kos pembangunan.
“Bukti kejayaan usaha ini bergantung pada penerimaan pembeli di Malaysia dan pasaran eksport PROTON. Untuk memastikan hasil yang positif, setiap langkah dalam pembangunan, pemasaran, jualan, serta perkhidmatan selepas jualan model ini telah diberikan perhatian penuh oleh PROTON,” kata Dr Li Chunrong.
PROTON memilih untuk menyertakan e.MAS 7 dalam perarakan Hari Kebangsaan, meskipun model ini belum dilancarkan, bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihatnya lebih dekat.
“Walaupun bukan kenderaan pengeluaran akhir, e.MAS 7 akan dipamerkan dengan motif penyamaran dalam warna-warna bendera Malaysia, sesuai dengan semangat Hari Kebangsaan,” tambah Dr Li Chunrong.
Selain penampilan di perarakan, ujian pengujian dan penyesuaian iklim untuk e.MAS 7 kini giat dijalankan.
Kereta ujian ini sering dilihat di jalan raya, menjalani pelbagai program pengujian termasuk ketahanan, pengecasan, pemanduan, dan perisian untuk memastikan EV nasional pertama Malaysia memenuhi jangkaan masa depannya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian