Penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane menerima anugerah Kasut Emas sebagai penjaring gol terbanyak liga bola sepak Eropah.
Kane meledak 36 gol dalam kempen Bundesliga sebelum ini, lebih daripada mana-mana pemain di Eropah.
Walaupun pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali, Kane tidak pernah memenangi anugerah berkenaan.
“Ia sangat menakjubkan. Anugerah ini untuk semua. Tanpa anda, saya tidak akan berdiri di sini hari ini.
“Saya bersemangat untuk memulakan musim baharu. Saya merasakan tenaga baharu. Saya bangga menerima anugerah ini,” Kane.
Anugerah untuk pencapaian individu bukan perkara asing buat Kane, tetapi penyerang itu masih belum menikmati sebarang gelaran bersama pasukan.
Selepas kemarau trofi bersama Tottenham di Liga Perdana Inggeris, Kane mengintai jalan mudah di saingan Bundesliga yang menyaksikan Bayern menjuara liga selama 11 musim berturut-turut.
Namun musim lalu, buat pertama kali sejak tahun 2012, Bayern gagal memenangi sebarang trofi walaupun Kane muncul penjaring terbanyak liga.
Kane meledak 36 gol dalam 32 penampilan untuk Bayern – kurang lima gol untuk menyamai rekod terbanyak dalam semusim dicatat bekas penyerang kelab itu, Robert Lewandowski.
Anugerah Kasut Emas untuk penjaring terbanyak mana-mana liga Eropah itu diperkenalkan pada musim 1967-68, tetapi ditukar kepada sistem ranking pada tahun 1997 yang memberi kelebihan kepada pemain-pemain di liga tertinggi.
Lionel Messi mengungguli anugerah berkenaan dengan enam kemenangan. Cristiano Ronaldo dan Erling Haaland juga pernah memenanginya. – JURNAL
Sumber: AFP